SHAH ALAM - Tular di media sosial, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq menerima sepucuk surat dikatakan dari peminatnya di Kemboja.

Menerusi Twitter miliknya, dia baru tiba di pejabatnya di Putrajaya namun terkejut menemukan sebuah kotak misteri di atas mejanya.

"Saya terkejut, dalamnya terdapat patung buatan tangan dan satu surat yang sungguh menakjubkan.

"Saya mungkin tidak dapat bertemu dengan anda, tetapi terima kasih kerana hadiah tersebut!," katanya.

Surat 'cinta' itu bukanlah surat cinta dihiasi kata-kata romantik sebaliknya kata-kata perangsang dan bangga diatas kehebatan beliau dalam menerajui kepimpinan para belia.

Monirath Park dari Phnom Penh, Kemboja merupakan peminatnya sejak beliau dilantik sebagai menteri belia dan sukan pada Julai lalu.

Katanya, tujuan menulis surat tersebut untuk menzahirkan ribuan terima kasih kepada Syed Saddiq kerana memberi insipirasi kepada anak muda termasuk dirinya.

Malah dia sering mengikuti perkembangan idolanya menerusi media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook.

Monirath turut berasa mengagumi pencapaian yang dilaksanakan oleh menteri itu serta menggemari kata-kata Syed Saadiq tentang 'Anak muda ini bukan sahaja pemimpin masa depan tetapi pemimpin masa kini'.

Bagi menzahirkan rasa bangganya itu, dia turut menghadiahkan patung predator buatan sendiri yang digelarnya superhero bagi menggambarkan menteri tersebut.

Kata-kata semangat juga diberikan buat menteri itu agar terus menyumbang dan memberi inspirasi kepada semua belia sama ada dalam mahupun luar negara.

Twitter Syed Saddiq mendapat perhatian netizen termasuk Monirath yang menzahirkan terima kasih kerana sudi menerima hadiah tersebut.