BIARPUN pernah dikritik hebat netizen gara-gara memperagakan fesyen pelik, namun pelakon dan pengacara MeleTop, Noor Neelofa Mohd Noor, masih mempunyai peminatnya tersendiri termasuk si cilik yang meniru gayanya hingga tular di media sosial.

Nur Airis Nafisya Muhamad Nurul huda, berusia tiga tahun tular gara-gara ibunya Eka Muliati Basri, 33, bijak meniru gaya Neelofa dengan hanya menggunakan barang sedia ada di rumahnya.

Eka memberitahu, dia meminati pelakon drama bersiri, Ti Amo Sweetheart 100 dan sering melihat Instagramnya.

Katanya, gemar melihat fesyen diperagakan Neelofa membuatkan dirinya mengayakan anaknya dengan fesyen yang sama.

"Setiap hari saya akan 'stalk' Instagramnya, jika ada foto terbaharu, saya akan tunjuk pada anak dan sekiranya dia suka gaya itu, barulah saya akan cari baju serta aksesori bersesuaian.

"Kebetulan pula, pakaian atau barang yang dipakai Neelofa, memang ada di rumah jadi saya peragakan seakan-akan sama tetapi tidak serupa," katanya.

Dalam pada itu, Eka turut tidak menyangka foto anaknya boleh tular di media sosial kerana niatnya hanya sekadar berkongsi di Facebook buat tontonan rakannya.

Ini kerana, jelasnya, Facebook itu tidak dikongsi kepada umum malah setiap 'posting' adalah 'private'.

Namun Eka memberitahu, kakaknya adalah individu yang 'bertanggungjawab' menularkan kesemua foto anaknya setelah diberitahu menerusi 'group' WhatsApp keluarga.

Hampir 20 foto gaya adik Nur Airis tular dan salah satu foto telah menarik perhatian netizen dengan meraih 4,200 tanda suka.

Gaya melihat ikan ketika Neelofa bercuti di kepulauan Maldives di sebuah hotel bawah air dan kreativiti ditampil oleh Nur Airis dengan melihat foto pelbagai jenis ikan yang ditampal di dinding rumahnya itu, mencuit hati netizen.