SHAH ALAM - Walaupun jenazah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah semalam namun kisah peribadinya masih lagi disebut di media sosial sehingga kini.

Menerusi Facebook Prema Mathibalan, dia telah memuat naik tiga foto kenangan bersama Allahyarham Muhammad Adib.

Cukup terkesan dengan pemergian wira negara, kata Prema, dia akan mengingati Muhammad Adib dan memberitahu anaknya-anaknya Allahyarham adalah insan yang baik.

Menurutnya, Allahyarham memberi layanan yang sungguh baik terhadap mereka sekeluarga

"Semoga tenang Hero. Anak saya ada kenangan bersama kamu.

"Saya akan selamanya beritahu mereka betapa baiknya kamu melayan kami. Saya kehilangan kata-kata.

"Saya marah saya sedih. Kamu tak sepatutnya dilayan begini. Berehatlah. Melihat dia di dalam gambar ini. Bolehkah orang yang menyakiti bawa dia kembali. Dunia tidak adil," katanya.

Status Prema turut mendapat perhatian netizen yang turut berduka kehilangan anggota bomba sangat berdedikasi ketika melaksanakan tugas.

Sehingga kini status itu mendapat 10,000 tanda suka dan hampir 5,000 perkongsian.

Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam kelmarin selepas menerima rawatan selama 20 hari di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarham mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.