TASEK GELUGOR - Niat seorang warga emas ingin membantu dua beranak yang disondol babi hutan bertukar tragedi apabila babi itu mengamuk lalu menyerangnya tanpa henti selama kira-kira seminit.

Memetik Facebook Nurbaiti Al-habsyi, warga emas itu yang juga bapanya telah diserang jam 6.28 petang semalam di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor.

Katanya, kini ayahnya dimasukkan ke hospital Seberang Jaya kerana mengalami parah di paha, betis berlubang, tapak kaki dan tangan terkoyak.

Menerusi rakaman video berdurasi 2.19 minit yang dimuatnaik olehnya mendapat perhatian netizen hingga meraih lebih 42,000 tontonan.

Menerusi video itu, terdapat seorang wanita bersama bayi sedang menunggang motosikal di jalan kampung tersebut.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba seekor babi hutan dari arah hutan meluru melanggar tayar belakang motosikal itu mengakibatkan dua beranak itu terjatuh.

Turut kelihatan, babi itu menyerang dan mengigit di bahagian kepala hingga tercabut tudung wanita berkenaan namun keadaan bayi tidak diketahui.

Selang beberapa saat, seorang lelaki berjalan kaki datang dari arah kanan cuba membantu dua beranak itu malang nasibnya apabila babi hutan itu melurunya hingga dia terjatuh.

Kira-kira seminit lelaki itu bergelut dengan babi hutan dan kelihatan babi itu, menyondol, mengigit di tangan dan kaki.

Ada ketika serangan babi hutan terhenti tetapi kemudian menyerang kembali, lelaki itu cuba mempertahankan diri dengan menendang ke arah babi itu tetapi bintang itu kembali mengganas.

Setelah dua minit bergelut, babi hutan akhirnya beredar dan lelaki itu turut gigih berjalan untuk menyelamatkan diri.

Kata, Nurbaiti, bapa saudaranya turut diserang babi hutan dan kini mereka dirawat di hospital malah berharap orang ramai mendoakan kesihatan kedua-dua kesayangannya.