CENDOL adalah pencuci mulut yang menjadi pilihan ketika cuaca panas di negara ini kerana menyegarkan.

Kaya dengan pelbagai rasa dari lemak santan, manis gula melaka, dan kelembutan cendol serta bahan penyedap seperti kacang, jagung, pulut, pasti ia menjadi kegilaan ramai walau di mana jua.

Baru-baru ini, CNN Travel telah menyenaraikan 50 pencuci mulut terbaik di dunia termasuk cendol namun dikatakan cendol berasal dari Singapura?

Menerusi perkongsian di Twitter, perbalahan berlaku antara netizen Singapura, Malaysia  yang rata-rata menyatakan cendol berasal dari negara mereka.

Kenny_kuek, berkata, artikel berkenaan menimbulkan kemarahan daripada rakyat Malaysia dan sewajarnya perlu menjaga sensitiviti budaya di sini.

Sekiranya tidak pasti original asal cendol, penulis CNN perlu membuat penyelidikan lebih terperinci sebelum artikel disiarkan kerana cendol adalah pencuci mulut terkenal di Malaysia mahupun Singapura.

Selain itu, Ong Jun Ren memberitahu, tidak semestinya cendol dijual di negara itu menjadikan original cendol dari Singapura.

Dia turut mempertikaikan artikel CNN yang mengelirukan netizen dan sepatutnya meletakkan dua negara lain iaitu Malaysia dan Indonesia kerana negara ini juga menjual cendol.

Bagaimanapun rata-rata netizen terus mempertahankan cendol berasal dari Malaysia dengan meninggalkan tanda pagar (hashtag) #CendolNotFromSingapore