KEBIASAANNYA masyarakat akan tertarik dengan perkara aneh, unik dan misteri di dunia.

Tidak semua cerita seram berdasarkan fiksyen semata-mata kerana terdapat filem diadaptasi dari kisah benar.

Kebanyakan objek-objek yang dikatakan telah terkena sumpahan akan membuatkan masyarakat kecut perut.

Terdapat beberapa objek telah menjadi inspirasi kepada penghasilan filem-filem seram.

Memetik portal iluminasi, berikut adalah senarai beberapa objek yang dikatakan berpuaka dan disumpah.

1. Anak patung Annabelle

Annabelle adalah sebuah anak patung yang diperbuat daripada kain dan dikatakan sebagai objek paling berhantu di dunia. Kini, ia ditempatkan di Muzium Occult Warren di Monroe, Connecticut. Anak patung Annabelle ini juga telah mengilhamkan banyak filem seram antaranya seperti The Conjuring dan Annabelle.

Menurut pasangan pakar paranormal iaitu Ed dan Lorraine Warren, anak patung ini telah diberikan kepada seorang pelajar kejururawatan pada sekitar tahun 1970-an. Pasangan psikik ini juga mendakwa anak patung ini didiami oleh roh seorang gadis yang sudah mati bernama Annabelle Higgins.

Pada mulanya, jururawat itu dan rakan sebiliknya menjaga anak patung ini namun menjadi takut setelah mendakwa anak patung itu berkelakuan aneh tidak lama selepas itu.

Mereka menghubungi pasangan Warrens yang kemudiannya membawa anak patung itu balik ke muzium mereka dan mendakwa anak patung itu mempunyai kuasa merasuk.

Pasangan Warren telah menempatkan anak patung Annabelle itu di dalam sebuah bekas kaca untuk dipamerkan di muzium itu. Seorang penunggang motosikal bersama teman wanitanya telah melawat muzium itu telah mengejek patung itu sebagai karut walaupun telah diberi amaran oleh Ed.

Ketika perjalanan pulang mereka dari muzium itu, pasangan itu telah terbabas lalu melanggar sebuah pokok dan mati dengan serta-merta. Pasangan Warren mendakwa bahawa anak patung Annabelle itu yang bertanggungjawab atas kematian penunggang motosikal itu dan pasangannya.

Banyak lagi kisah menyeramkan mengenai anak patung Annabelle ini walaupun ada sesetengah pengkaji mendakwa ianya hanyalah cerita rekaan pasangan Warren semata-mata.

2. Cermin Ladang Myrtles

Ladang Myrtles mempunyai sebuah rumah lama merupakah salah sebuah rumah bersejarah di Louisiana, Amerika Syarikat. Dibina pada tahun 1796 oleh Jeneral David Bradford, rumah di ladang ini dianggap sebagai salah sebuah rumah paling berhantu di Amerika Syarikat.

Menurut cerita, rumah itu dikatakan dibina di atas perkuburan kaum Indian Kuno Tunica dan dikatakan terdapat sebanyak 12 hantu yang sering berlegar-legar dan kelihatan di situ. Malah, sejak rumah itu dibina, dikatakan hampir 10 pembunuhan telah berlaku di situ.

Di dalam rumah itu, terdapat satu cermin yang dikatakan menyimpan roh kepada Sara Woodruff dan dua orang anaknya. Sara Woodruff merupakan isteri kepada Clarke Woodruff iaitu penjaga rumah ladang itu setelah kematian Jeneral David Bradford pada tahun 1808.

Menurut adat di sana, sekiranya berlaku sebarang kematian, cermin perlulah ditutup dengan kain. Namun begitu, ketika kematian Sara Woodruff dan dua orang anaknya, cermin di rumah ladang ini tidak ditutup dan telah memerangkap roh mereka di situ selamanya. Beberapa orang telah melaporkan melihat roh Sara dan tapak tangan pada cermin berhantu ini.

3. Lukisan 'The Hands Resist Him'

Lukisan The Hands Resist Him terkenal sebagai lukisan berhantu eBay. Ia dihasilkan oleh pelukis bernama Bill Stoneham pada tahun 1972, yang menggambarkan seorang budak lelaki dan perempuan berdiri di hadapan pintu kaca yang dipenuhi banyak tangan di belakangnya.

Lukisan itu menjadi terkenal kerana khabar angin yang tersebar di internet pada tahun 2000 apabila ia dijual di eBay dengan latar belakang mengenai lukisan itu yang dikatakan berpuaka. Menurut penjualnya, lukisan Bill Stoneham itu mempunyai sumpahan dan berhantu.

Malah, penjual itu juga mendakwa gambar dalam lukisan itu akan bergerak-gerak pada waktu malam serta keluar dari lukisan itu dan berlegar-legar dalam bilik pameran di mana lukisan itu ditempatkan.

4. Pakaian pengantin Anna Baker

Pakaian pengantin yang dikatakan berpuaka ini disimpan di dalam sebuah bilik di rumah agam Baker yang dibina pada tahun 1849. Pakaian pengantin ini dikatakan milik kepada anak perempuan Elias Baker.

Anak perempuannya iaitu Anna Baker dikatakan telah jatuh cinta dengan seorang pekerja keluli tempatan namun bapanya melarang lelaki itu daripada mengahwini Anna kerana tidak setaraf dengan mereka. Sejak itu, Anna tidak dibenarkan menikahi lelaki itu sehingga dia meninggal dunia sebagai seorang anak dara lanjut usia pada tahun 1914.

Apabila rumah agam itu diubah menjadi sebuah muzium, sepasang persalinan gaun perkahwinan disimpan kerana ia dipercayai berhantu. Ramai pelawat muzium mendakwa mereka telah menyaksikan sendiri gaun perkahwinan itu menari atau bergerak-gerak di dalam rak kaca pameran.

Dipercayai bahawa roh Anna telah menghantui gaun perkahwinan itu. Manakala penampakan Elias Baker dan Anna juga sering terjadi di sekitar rumah agam itu.

5. Lukisan 'The Anguished Man'

Sebelum lukisan ini diwariskan kepada Sean Robinson, neneknya telah menyimpan lukisan ini di loteng selama hampir 25 tahun.

Neneknya sering memberitahu Robinson bahawa lukisan ini mempunyai kuasa jahat dan disumpah serta mendakwa lukisan ini dilukis menggunakan cat yang dicampurkan dengan darah dan pelukisnya membunuh diri selepas menyiapkan lukisan ini.

Neneknya juga mendakwa sering mendengar suara aneh malah melihat bayangan seorang lelaki berada di rumahnya ketika lukisan itu berada dalam simpanannya.

Perkara menakutkan ini yang membuatkan neneknya memutuskan untuk menyimpan lukisan ini di loteng rumah selama 25 tahun lamanya.

Selepas mewarisi lukisan itu, keluarga Robinson juga mengalami fenomena yang sama seperti yang diceritakan oleh neneknya.

Anaknya pernah ditolak jatuh dari tangga dan isterinya pula pernah merasakan sesuatu sedang mengusap rambutnya.

Mereka sekeluarga juga sering mendengar suara tangisan dan terlihat bayangan seorang lelaki berada dalam rumah mereka.

Setelah itu, mereka memasang kamera di seluruh rumah bagi merakamkan kejadian aneh itu dan memuat naikkan ia ke dalam YouTube.

Antara fenomena yang terakam oleh kamera ialah pintu terhempas dengan sendiri, gambar lukisan itu jatuh dengan sendiri dan banyak lagi. Kini, Lukisan "The Anguished Man" itu disimpan di ruangan bawah tanah rumah keluarga itu.