ULU YAM - Lewat lima saat, diambang maut!

Demikian luahan dan pengalaman sebuah keluarga ketika berkelah di air terjun Ulu Yam apabila dikejutkan dengan kehadiran gelombang 'kepala air' yang secara tiba-tiba datang ketika sedang bermandi.

Bagaimanapun nasib menyebelahi mereka, setelah si ibu menyedari kejadian itu lima saat awal sebelum 'kepala air' menghanyutkan mereka.

Memetik Facebook Ike Ynia Akiras, ketika jam 4.30 petang, cuaca mendung dan tidak menunjukkan tanda-tanda hujan.

Melihat keadaan cuaca baik, suaminya juga berhajat untuk menyewa sebuah kabin di kawasan tersebut.

"Anak-anak pun tengok ok dan gembira berendam di dalam air. Sesekali jenguk juga anak mandi manda dan paras air juga tidak dalam untuk mereka mandi.

"Saya pun turut serta berendam, namun sekali sekala naik ke atas untuk ambil makanan dan diberikan kepada anak-anak," katanya.

Jelasnya, ketika jam 5 petang, dia berehat di atas batu besar sambil menikmati juadah.

"Waktu itu, anak lelaki dah naik masa ini, dua anak perempuan masih duduk di atas batu berhampiran gigi air namun tidak jauh dari kami.

"Suami pun ketika itu turun untuk mandi namun secara tiba-tiba saya ternampak 'kepala air' dengan jarak hanya 3.6 meter sahaja.

"Terus menjerit, air bang!!!, dengan pantas suami turun ke air terjun dan tolak anak bongsu ke tepian dan si kakak juga sempat tarik adiknya. Saya juga sempat lari ke tepian," katanya masih trauma dengan kejadian tersebut.

Dalam keadaan menggigil, mereka sekeluarga berpelukan sebagai tanda syukur kerana jika lewat lima saat, mungkin menjadi mangsa lemas dihanyutkan air.

"Hanya ALLAH SWT sahaja tahu perasaan kami ketika itu, sekelip mata kami berjaya naik dan air ketika itu tenang menjadi bergolak, bergulung dan sangat menakutkan. Warna juga bertukar dari jernih kepada keruh, kekuningan.

"Memang tidak dapat bayangkan kalau-kalau anak dan saya sendiri digulung dalam air kerana air itu sangat deras disusuli sampah sarap, dahan-dahan pokok," katanya.

Kebiasaannya, bencana kepala air ditonton dalam televisyen dan membaca beritanya di media tempatan namun tidak menyangka mereka melihat sendiri fenomena itu hingga hampir lemas.

Dalam pada itu, Ike Ynia juga sempat menasihatkan kepada orang ramai malah melarang membawa ahli keluarga untuk berkelah di air terjun meskipun cuaca mendung kerana malang tidak berbau.