JOHOR BAHRU - Jika sebelum ini, fenomena 'awan bergulung' muncul di Kelantan, kini fenomena itu dikatakan berlaku di Johor Bahru sekaligus mengundang pelbagai reaksi netizen.

Rakaman video berdurasi 33 saat telah dimuatnaik di Facebook Viral Media Johor berjaya mencuri perhatian netizen yang kini mencecah lebih 21,000 tontonan.

Dikatakan fenomena itu berlaku awal pagi didakwa di Pengerang dan Kota Tinggi dan ia menimbulkan pelbagai persoalan dari orang ramai.

Netizen Paan Hahn berkata, fenomena itu adalah kekuasaan ALLAH SWT dan pastinya ia ada hikmah disebalik kejadian.

"Tidak hairan kejadian berlaku seperti ini kerana perangai manusia kini pun pelik-pelik... akhir zaman," katanya.

Bagi Mazlina Ina, mungkin fenomena itu berlaku adalah satu peringatan kepada hambanya dan berharap moga dijauhkan segala musibah bencana kepada manusia.

Dalam pada itu, menerusi laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, mulai Selasa hingga Sabtu, Johor Bahru bakal dilanda ribut petir di beberapa tempat dan diminta untuk orang ramai lebih berwaspada.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Awan bergulung' undang bahaya]