MADURAI - INDIA. 'Dia rasa dulu makanan sedap atau tidak, sebelum hantar kepada pembeli.'

Itu kata-kata sinis yang dilontarkan oleh netizen setelah tular video klip 2.18 minit di media sosial memaparkan seorang pekerja syarikat penghantar makanan menjamah makanan sebelum dihantar kepada pembeli.

Pekerja itu dilihat menjamah dua makanan dalam bekas tertutup kemudian menutup semula dan meletakkan makanan itu ke dalam beg plastik kemudiannya menghantar kepada pelanggan.

Video itu mendapat kecaman dari netizen setelah ia dimuatnaik di Twitter Madan_Chikna dan kini meraih 209,000 tontonan dan 11, 976 tanda suka serta lebih 7,000 ciapan.

Gara-gara video itu tular, syarikat penghantaran makanan itu telah mengambil tindakan dengan memecat pekerjanya.

Dalam satu kenyataan di bebenang Twitter itu, syarikat itu mengakui lelaki di dalam video itu adalah pekerjanya.

"Kami telah bertemunya, mengakui ia adalah satu kesilapan. Lelaki itu telah dipecat," katanya.

Pihak terbabit mengambil serius perkara itu dan akan menyediakan “tamper-proof tapes” sebagai langkah pencegahan untuk memastikan produk syarikat terjamin.