GEJALA rasuah sering kali dikaitkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tugas mereka yang sering berhadapan dengan orang ramai. 

Apabila disebut rasuah, kesalahan itu seolah-olah hanya melibatkan polis. Malah, masyarakat juga turut menghina dan memperlekehkan tugas anggota keselamatan itu kerana isu tersebut.

Sedar atau tidak perkara ini turut dirasai anak-anak anggota polis.Ikuti klip video khas yang begitu menyentuh hati dan perasaan daripada anak-anak pasukan keselamatan itu. 

"Hai nama saya Zara.  Ayah saya kerja polis.  Polis CID (Jabatan Siasatan Jenayah). Polis (yang) tembak-tembak....pong-pong. Zara sayang ayah zara. Ayah selalu bawa Zara jalan-jalan, beli banyak mainan. Ayah, Zara sayang ayah.

"Tapi... orang cakap, polis itu ambil rasuah. Ayah tak ambil rasuahkan?. Rasuah itukan najis.  Ayah nak kasi Zara makan najis ke?,” katanya.

Perkara itu turut diluahkan, oleh Brian Lim.

Kata Brian, emaknya seorang pegawai polis, walaupun dia sangat garang tapi dia cantik.

Brian berkata, dia suka makan masakan emaknya.

Emaknya, ditugaskan untuk menangkap pengedar dadah.

Apabila dia hendak pergi ke sekolah, emaknya baru balik kerja.  Tetapi apabila emak ada masa lapang, mereka akan keluar berjalan dan tengok filem. 

“Saya rasa sangat bangga kerana emak saya adalah seorang pegawai polis yang menangkap pengedar dadah setiap hari

“Berhati-hati pengedar dadah kerana emak saya akan tangkap kamu. Tapi ramai orang cakap polis ambil rasuah daripada pengedar dadah.

“Mesti bukan mak saya, emak saya sangat baik. Emak tolong jangan ambil rasuah kerana rasuah adalah perbuatan yang tidak elok,” katanya.

Perkara sama turut diluahkan oleh seorang lagi anak anggota polis, iaitu Thejasshny.

Dia merupakan anak kepada seorang pegawai polis trafik.

“Sekali ayah saya angkat tangan, semua kereta berhenti. Ayah saya seorang yang hebat.  Saya sangat sayang ayah saya.  Ayah selalu bawa saya berjalan-jalan saya sangat gembira.

“(Tapi) Semua orang cakap polis trafik ambil rasuah, saya sangat sedih.  Ayah saya tak ambil rasuah. Ayah saya benci rasuah.” katanya.

Namun, katanya dia pun nak jadi seorang pegawai polis seperti mana ayahnya.

Klip Video khas adalah bersempena dengan Seminar Pemantapan Integriti:Bebas Rasuah Warga PDRM. 

Hasil karya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ini menampilkan para pegawai dan anggota polis sebenar bersama penampilan khas para pelakon cilik terdiri daripada anak-anak polis iaitu Zara Audilia, Brian Lim dan S. Thejasshiny.