SURABAYA - INDONESIA. Jangan memandang seseorang itu secara luaran semata tetapi nilailah dirinya menerusi hati.

Biarpun berperwatakan ranggi dengan rambut diwarnakan, siapa menduga insan ini memiliki hati bersih dengan sanggup menggunakan wangnya untuk menaja pengasuhnya pergi menunaikan Umrah.

Memetik Facebook Wine Fallensky, selama 24 tahun dia dijaga oleh pengasuhnya belum pernah mendengar keluhan dari insan itu.

Wine juga seorang gitaris memberitahu, meskipun pengasuhnya dibayar gaji tetapi wang itu akan dikirimkan kepada anak-anak dan keluarganya.

Diusianya kini mencecah senja, tubuhnya tidak lagi sekuat mana, pengasuh sering bermimpi untuk pergi ke Tanah Suci Makkah.

Terdetik di hati Wine untuk menaja pengasuhnya pergi menunaikan Umrah dengan gaji pertamanya.

Mendapat restu dari ibu bapa, Wine meminta pengasuh mencari agensi Umrah yang terbaik.

Namun desakan Wine disalah erti oleh pengasuh malah dianggapnya sekadar bergurau.

"Setiap hari saya tanyakan hingga seminggu kemudian, dia bertanya kepada ibu bapa mengapa saya berkata demikian.

"Dia terus bertemu saya, seakan tidak percaya dan memeluk sambil menangis mendoakan keluarga saya dimurahkan rezeki," katanya.

Dalam pada itu, Wine juga memberitahu tidak perlu menilai seseorang itu berdasarkan pekerjaan mahupun pangkat, sebaliknya perlu melihat keikhlasan yang pasti membawa kebahagiaan.