[DIKEMASKINI] SUSULAN kejadian seorang promoter yang dimaki oleh seorang lelaki di sebuah pasar raya menerusi video yang tular sehingga membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia, gadis tersebut  meminta agar isu tersebut tidak dipanjangkan.

Ia dimaklumkan oleh syarikat di mana tempat gadis tersebut bertugas, dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan syarikat itu, pihaknya kecewa mengenai bagaimana promoter berkenaan diperlecehkan semasa bertugas walaupun memenuhi piawaian dan peraturan.

Menyifatkan tindakan lelaki tersebut merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, syarikat bagaimanapun berbangga dengan gadis tersebut dalam menangani situasi yang sukar ketika itu.

Malah, syarikat menawarkan sokongan sebaik sahaja petugas tersebut membuat laporan kejadian.

“Kami ingin menegaskan bahawa aktiviti pensampelan kami hanya untuk orang bukan Islam pada had usia yang dibenarkan mengikut undang-undang.

“Walaupun kami mempunyai hak di atas perkara (insiden) ini, keutamaan kami adalah keselamatan promoter. Kami menghormati keputusan promoter tersebut untuk tidak memanjangkan perkara ini lagi,” katanya.

Gadis tersebut meminta semua pihak untuk menghormati privasinya dengan tidak menyebarkan imej, video dan maklumat peribadinya.

“Syarikat menghormati keputusan promoter tersebut dan terus menawarkan bantuan kepadanya serta memantau keadaan pada masa sama,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, tular  satu video dimana seorang lelaki bertindak memarahi seorang promoter di sebuah pasar raya berbangsa Cina yang didakwanya cuba mempromosikan minuman keras kepada orang-orang Islam.

Meskipun sudah dijelaskan oleh promoter itu, dia hanya mempromosikan minuman itu kepada 'non muslim', tetapi lelaki yang dikenali sebagai Edi Rejang turut bertindak secara keterlaluan apabila menunjukkan isyarat lucah kepada promoter wanita berkenaan selain memarahinya kerana menggunakan bahasa Inggeris tidak bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengannya.      

Lelaki berkenaan yang lebih dikenali sebagai Edi Rejang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial apabila dikecam netizen.