JOHOR BAHRU - Pelanggan perlu berkelakuan sopan kepada tukang masak dan pelayan atau pelanggan perlu membayar tambahan RM10.

Itu arahan yang diberikan oleh sebuah restoran di Johor Bahru kepada para pelanggannya dan gambar notis itu telah dimuatnaik di Facebook Jonathan Teoh.

Apa yang menariknya, terdapat beberapa notis ditampal di tiang restoran berkenaan, antaranya, tidak boleh membawa makanan, minuman dari luar dan harga tertakluk kepada sikap pelanggan.

Lebih melucukan, notis kepada pelanggan yang berkelakuan tidak sopan, sombong, pemarah dan pengacau, juga didenda RM10.

Pelanggan juga dilarang menderma wang kepada pengemis ketika berada di restoran itu.

Perkongsian yang dianggap relevan itu berjaya mencuri perhatian netizen dan kini hampir 9,000 perkongsian dan lebih 3,000 tanda suka.

Rata-rata netizen menyukai status itu dan teruja untuk berkunjung ke restoran berkenaan.

Feng Lim berkata wajar memberi sokongan kepada tindakan pemilik restoran malah ingin mengetahui lokasi restoran tersebut.

Manakala, Alexander Tan Kok Bing berkata restoran itu harus meletakkan syarat tambahan bagi pemilik haiwan.

"Jika mereka mahu membawa haiwan peliharaan ke restoran, sila membayar lebih RM1,000 setiap haiwan tersebut," katanya berseloroh.

Dalam pada itu, ada juga yang memberi maklumbalas tentang amaran tidak memberi wang kepada pengemis di restoran itu.

Joshua Wong berkata, wang yang didermakan itu belum tentu digunakan untuk perkara yang baik.

"Oleh itu, saya tidak memberi wang kepada mereka," katanya.