BKZ Motor Sdn Bhd selaku pemasang, pemasar dan pengedar motosikal elektrik jenama Voltrix memperkenalkan tiga model terbaharu Voltrix Hunter (RM4,750), Voltrix Milano (RM3,950) dan Voltrix SG60 (RM4,950) yang dijangka mula berada di pasaran mulai 2019.

Melalui sokongan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), BKZ akan membangunkan program francais pembangunan usahawan motosikal Bumiputera di bawah jenama “Bikers Pit” yang ditumpukan di kawasan luar bandar khususnya kawasan Felda.

KEPELBAGAIAN MODEL

Ketiga-tiga model ini menggunakan motor elektrik jenis DC Brushless yang mendapat kuasa daripada bateri MF Lead Acid Gel dengan kuasa yang berbeza. Hunter adalah yang paling berkuasa dengan motor elektrik 1200 W dan bateri 72V/20Ah, sekali gus mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1800 W dan 110 Nm tork.

Laju maksimum model Hunter adalah 45 km/j dan dengan sekali cas penuh ia boleh bergerak sehingga 70 km, berat 110 kg, brek cakera di hadapan dan dram di belakang, suspensi teleskopik dan dua penyerap di belakang.

Milano pula menggunakan motor elektrik berkuasa 800 W dan bateri berkapasiti 48V/20Ah, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1000 W dan 72 Nm tork. Laju maksimum model ini adalah 40 km/j dan setiap cas penuh boleh membawa pengguna sejauh 50 km.

Manakala SG60 pula, model ini menggunakan motor elektrik berkuasa 800 W, tetapi dipadankan bersama bateri berkapasiti 60V/20Ah, menjadikan kuasanya sedikit kurang iaitu 1000 W dan 72 Nm tork. Jarak perjalanan yang boleh diberi dengan setiap cas penuh adalah 60 km dan laju maksimumnya adalah 40 km/j.

Syed Saddiq merasmikan pelancaran tiga model Voltrix.

PEMBANGUNAN BERSAMA

Ketua Pegawai Eksekutif BKZ Motor Sdn Bhd, Isma Yusnor berkata, program yang dibangunkan bersama PNS adalah untuk membentuk peniaga Bumiputera berkecimpung dalam perniagaan motosikal.

“Terdapat tiga pakej ditawarkan untuk program ini iaitu Pakej Oren yang bermula dari RM25,000 dengan tiga buah motosikal diberikan untuk pameran serta ruang pameran di kompleks beli-belah.

“Pakej Biru merangkumi modal permulaan sebanyak RM50,000 dengan ruang pameran disediakan berserta lima buah motosikal untuk pameran, alat ganti, trak pusat servis dan deposit untuk trak.

“Manakala Pakej Perak merangkumi modal permulaan RM250,000, model bilik pameran, 20 buah motosikal, trak pusat servis, spa motosikal, perkhidmatan tunda serta bayaran permulaan untuk trak,” jelasnya pada majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu lepas.

HALA TUJU

Pengasas United Maex Sdn Bhd, He Ying Feng memperkenalkan Voltrix Hunter.

Isma turut memaklumkan, pihaknya merancang untuk memberi tawaran bagi membuka konsep francais ini antara 10 hingga 20 buah setahun.

“PNS akan memantau program ini agar ia dapat memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera dan segala bantuan itu diberikan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada kesediaan usahawan tersebut.

“Selain itu, BKZ turut merancang untuk membuka dan memberi lebih banyak peluang kepada peneroka Felda bagi menjalankan perniagaan ini. PNS akan memberi latihan untuk membuka bengkel serta juga latihan untuk mekanik,” ujarnya.