PUSINGAN kedua Festival Toyota Gazoo Racing dan siri perlumbaan jalanan pertama di Malaysia, Toyota Vios Challenge telah melabuhkan tirai pada 21 Oktober lalu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

Terdahulu, pusingan pembukaan diadakan di Kuala Terengganu pada Ogos yang menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Festival dua hari, 20 dan 21 Oktober itu turut dimeriahkan dengan pameran model-model kenderaan terkini Toyota, sesi pandu uji, promosi serta persembahan selebriti, selain aksi perlumbaan dalam kategori Promotional, Sporting dan Super Sporting di dalam litar.

Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Ravindran K berkata, Toyota adalah tentang All About The Drive, dan Festival Toyota Gazoo Racing menyediakan platform terbaik bagi pelanggan untuk merasai sendiri.

“Kami mengundang semua untuk melihat keteguhan, ketahanan, keselamatan, daya saing serta prestasi kenderaan Toyota, terutamanya Vios 1.5L di tangan pelumba-pelumba yang terlibat dalam Vios Challenge.

“Satu daripada tarikan utama ialah penampilan dan sesi pandu uji Toyota Rush serba baharu, sebuah SUV kompak yang dilengkapi dengan enjin 1.5 liter,” katanya.