UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) baru-baru ini memperkenalkan Toyota Rush serba baharu daripada generasi kedua model SUV tujuh tempat duduk yang dibangunkan, khusus untuk pasaran Asean.

Toyota Rush sudah berada dalam pasaran sejak 10 tahun lalu, dengan 18,000 unit terjual setakat ini di seluruh Malaysia. Direka untuk menjadi praktikal serta tahan lasak, Toyota Rush sebelum ini telah diberi kemas kini untuk menepati keperluan pengguna yang sentiasa berubah.

Dengan penawaran daripada generasi kedua ini pula, Toyota Rush serba baharu masih mengekalkan imej sebuah SUV urban dengan pendekatan Rugged-Active Lifestyle. Ia menggabungkan keselesaan sebuah kereta dengan keluasan ruang serta posisi kedudukan kenderaan lebih tinggi yang sinonim dengan sebuah SUV.

Imej terkini pada Toyota Rush serba baharu ini juga telah ditingkatkan untuk membawa penampilan premium yang dilengkapkan lagi dengan ciri-ciri nilai tambah, menjadikannya sebagai pilihan yang lebih berbaloi.

Toyota Rush terus menggunakan sistem pacuan roda belakang untuk memberikan kelebihan kepadanya pada permukaan jalan yang pelbagai, menawarkan cengkaman yang lebih mantap ketika mendaki dan juga untuk membawa bebanan berat.