SUV pertama Proton yang dinanti-nantikan iaitu Proton X70, telah dibuka untuk tempahan pra-pelancaran dari 8 September lalu.

Pelanggan yang berminat dialu-alukan untuk membayar deposit tempahan di cawangan Proton tetapi bermula 17 Oktober lalu, mereka turut dapat menggunakan platform dalam talian yang membolehkan tempahan dibuat di mana-mana sahaja sekiranya terdapat sambungan internet.

Setakat ini, sambutan daripada rakyat Malaysia sangat menggalakkan kerana jumlah tempahan yang diterima melebihi 10,000 unit dan hampir 2,000 daripada tempahan itu dibuat secara dalam talian, di mana ia merupakan keputusan tepat yang dibuat syarikat untuk mewujudkan dan melancarkan kemudahan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, Meskipun Proton perlu mengawal perkongsian maklumat sebelum pelancaran model tersebut, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan kerana telah menerima lebih 10,000 tempahan termasuk melalui dalam talian melebihi jangkaan.

“Kami tidak pasti bagaimana reaksi pelanggan terhadap kaedah baharu yang diguna pakai ini tetapi penerimaannya menunjukkan cara bagaimana kereta perlu dijual pada masa akan datang.

“Buat masa ini kami berharap agar pelanggan bersabar kerana kami sedang membuat persiapan akhir pelancaran Proton X70,” katanya.