Marina Island Lumut jadi saksi 500 ahli seluruh negara berkumpul

LEBIH 500 ahli Exora Owners Car Club Malaysia (EOCM) berkumpul bersama keluarga masing-masing sempena sambutan ulang tahun ke-9 EOCM yang berlangsung di Marina Island Lumut, Perak baru-baru ini.

Acara tahunan EOCM yang dianjurkan oleh gabungan jajahan Northern Region selama 2 hari 1 malam itu meninggalkan memori indah kepada ahli yang hadir kerana silaturahim tercipta selepas bertemu rakan dari seluruh negara.

Sebahagian Proton Exora yang dipamerkan ketika acara show off.

Malah lebih membanggakan apabila SUT9 kali ini turut dihadiri oleh wakil dari Exora Owners Car Club Indonesia (EOCI) dan Proton Club Indonesia (PCI).

Bercakap pada majlis makan malam, Presiden EOCM, Sayutie Hassan bersyukur kerana program yang dirancang selama beberapa bulan itu berjaya dilangsungkan.

Menurut beliau tanpa kerjasama, sudah pasti program sebesar itu sukar untuk direalisasikan.

Ketua Pegawai Operasi 4Flex Racing Management Sdn Bhd,Mohd Nazim Saparuddin menandatangani memorandum kerjasama dengan EOCM sambil diperhatikan Sayutie (kiri)

“Terima kasih kepada semua ahli yang menjayakan program kali ini, sekalung penghargaan buat Proton, F&N, 4flex selain penaja-penaja hadiah untuk Autoshow dan cabutan bertuah antaranya MZ Garage, Sigma Bumper, Tok Jai Audio, Dorris dan lain-lain, sekalung penghargaan untuk anda semua,” katanya.

KEHADIRAN RATUSAN AHLI

Tambahnya pertemuan itu menjadi kesempatan terbaik dalam kalangan ahli untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan teknikal serta alat ganti termasuk aksesori kenderaan.

“Selain menghias dan menjaga kereta, kami mementingkan disiplin serta menghormati pengguna jalan raya sebagai perkara wajib setiap ahli.

“Ini sekali gus mengeratkan jalinan muhibah antara dua negara melalui kelab di bawah EOCM,” katanya.

Pemenang pertandingan auto show.

Sayutie turut merakamkan penghargaan buat ahli jawatankuasa penganjur Northern Region yang berjaya menyelaras acara dengan kehadiran ratusan ahli dari seluruh negara.

“Kita adakan ‘Show Off’ Exora yang telah diubahsuai terutama dari segi audio, body kit dan persembahan interior dalaman kereta yang paling menarik perhatian dari segi persembahan adalah pemenangnya,” katanya

Juri auto show menilai salah sebuah Exora.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan SUT10 2019 akan diadakan di negeri Johor Darul Takzim, di mana Southern Region akan bertindak selaku tuan rumah.

TIDAK MENGEHADKAN PENYERTAAN

“Saya dan barisan AJK Pusat EOCM termasuk urusetia SUT9 mengharapkan serta mengalu-alukan penyertaan ahli EOCM serta keluarga bagi meramaikan dan memeriahkan satu-satunya acara tahunan EOCM ini untuk tahun-tahun akan datang.

“EOCM juga mempunyai barisan AJK dan Exco yang amat komited dengan setiap aktiviti yang dijalankan walaupun dibuat dengan hanya sukarela,” katanya.

Ketua-ketua jajahan dan ahli jawatankuasa penganjur SUT9.

Menurutnya, paling penting bukan nilai pada bayaran penyertaan tetapi pulangan pada memori dan kenangan yang tidak dapat dijual beli.

Tambah Sayutie, EOCM tidak mengehadkan penyertaan kepada ahli sahaja, malah mereka yang memiliki Proton Exora juga dialu-alukan menyertai serta menjadi sebahagian daripada keluarga EOCM.