EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan Nissan Serena S-Hybrid serba baharu mencatat satu lagi sejarah dengan 5,500 tempahan diterima.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,000 unit telah diserahkan kepada pelanggan setakat 30 Oktober, merangkumi 73% daripada jumlah tempahan.

Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, Nissan Serena S-Hybrid serba baharu menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa, bersama ciri-ciri keselamatan termaju seperti 6 Beg Udara SRS, Vehicle Dynamic Control (VDC) dan Traction Control System (TCS).

“Ditambah dengan 13 konfigurasi tempat duduk, tempat duduk sifar graviti, tempat duduk baris kedua jenis Kapten dengan perehat tangan dan tempat duduk baris ketiga boleh gelongsor menjadi sebab utama ramai keluarga di Malaysia memilih Serena sebagai MPV tujuh tempat duduk yang sempurna.

“Kilang pemasangan kami (TCMA) kini fokus untuk meningkatkan pengeluaran, pada masa sama memastikan tahap kualiti produk tertinggi dan terus mempercepatkan penghantaran. Kami sangat berterima kasih kepada pelanggan atas sokongan berterusan, sabar dan memahami,” katanya.

Tambah Christopher lagi, Nissan Serena S-Hybrid serba baharu baru-baru ini memenangi Anugerah Pilihan Editor CarSifu 2018 untuk kategori MPV Saiz Sederhana Terbaik dan MPV Kompak Terbaik dalam Anugerah DSF.my Allianz Vehicle of the Year (VOTY 2018) pada Mei 2018.

Pandu uji Nissan Serena S-Hybrid serba baharu dan model-model inovatif Nissan di bilik pameran Nissan di seluruh negara.