FORD Ranger Raptor model trak pikap yang ditunggu-tunggu akhirnya akan dilancarkan secara rasminya di Malaysia untuk pasaran tempatan.

Walaupun model ini sudah dipertontonkan ketika pelancaran bersama barisan Ford Ranger terbaharu Oktober lalu yang berlangsung di Setia City Convention Centre, kini Ford Ranger Raptor akan tampil dan membuat penampilan umum pada acara Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang kini sedang berlangsung di MITEC Kuala Lumpur dan bakal melabuh tirai 2 Disember nanti.

Ford Ranger Raptor merupakan varian paling tinggi daripada varian-varian Ford Ranger terbaharu yang lain seperti varian XLT+ dan Wildtrak.

Raptor menggunakan enjin baharu, 2.0L EcoBlue empat-silinder dengan ciri bi-turbo, yang menjana sebanyak 213 PS kuasa dan juga 500 Nm meter. Model ini juga dilengkapkan dengan sistem transmisi automatik 10-kelajuan terbaharu dengan perisian khusus bagi Raptor yang hadir dengan pilihan mod pemanduan di bawah Terrain Management System.

Walaupun model varian Ford Ranger Raptor ini menggunakan enjin dan transmisi sama seperti yang ada pada Wildtrak 4×4, namun casis dan suspensi bagaimanapun sangat berbeza dengan model-model lain. Banyak penambahbaikan dan juga perubahan dilakukan pihak Ford.

Anda boleh dekati model ini sendiri di MITEC sementara acara KLIM 18 masih 2018berlangsung dan rebut peluang ditawarkan pihak Sime Darby Auto Connexion untuk memenangi sebuah Ford Ranger Raptor bagi setiap pembelian mana-mana varian Ranger yang lain. Manakala 888 pelanggan pertama yang mendaftarkan Ford Ranger baharu juga akan turut menerima baucar barangan elektrik bernilai RM1,000.

Selain Ford Ranger Raptor, KLIMS 18 akan menyaksikan lebih banyak pilihan untuk ditinjau selain daripada kenderaan penumpang, kereta konsep, kereta eksotik dan motosikal. Ini kerana para pengilang dan pengedar kenderaan komersial akan mempamerkan pelbagai model kenderaan mereka di acara tersebut.

Pameran lain yang dijangka dapat menarik minat pengunjung adalah dari MSM Metal Industries, sebuah syarikat kejuruteraan logam dan pengeluar kontrak OEM yang mengeluarkan kelengkapan dapur dan peralatan untuk kendera saji (food truck). Syarikat ini juga akan mempertontonkan robot berketinggian 20 kaki bernama ‘Tanker’ yang diperbuat daripada logam dan bahagian automotif terpakai.

Untuk maklumat lanjut mengenai KLIMS 18 yang dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) ini anda boleh layari laman web www.klims.com.my, atau hubungi Trade-Link Exhibition Services Sdn Bhd di talian +603-7842 9863 atau e-mel info@trade-link-group.com.