SETELAH berlangsung sembilan hari di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) edisi ke sembilan bakal melabuhkan tirainya esok.

Bertemakan “Beyond Mobility” untuk edisi kali ini, KLIMS18 yang membuat penampilan semula selepas lima tahun menyepi sejak kali terakhir penganjuran pada tahun 2013 yang lalu.

KLIMS18 telah menjadi medium kepada pengeluar kenderaan bersaing dalam mempelopori inovasi teknologi mesra alam dan menjadi platform pengenalan produk-produk automotif yang terdapat dalam pasaran tempatan.

Bagi peminat sukan permotoran dan automotif anda perlu hadir sendiri ke MITEC untuk merasai pengalaman menarik sepanjang berada di pertunjukan permotoran dan automotif terbesar di negara ini. Masih ada masa dan sehari lagi esok untuk anda berkunjung.

Pameran kereta daripada Tom Sticker

Dalam pengamatan penulis, persoalan yang mungkin timbul dalam kalangan pengunjung, mengapa pameran automotif sebesar ini masih dibuat di tempat yang agak terhad untuk kunjungan orang awam, sedangkan ada beberapa pilihan lokasi lain seperti Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) di Serdang.

Sekurang-kurangnya, ruang parkir di MAEPS lebih memudahkan pengunjung selain faktor lokasinya yang terpisah daripada kesibukan dan kesesakan bandar. Mungkin disebabkan MAEPS ketika ini juga sedang berlangsung Pameran Pertanian Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA), itulah agaknya KLIMS18 diadakan di MITEC.

Perodua Myvi, Honda City dan Toyota C-HR menanti mereka yang menyertai cabutan bertuah

Selain daripada pameran kereta terbaharu dan kereta konsep, pelbagai pameran lain dan promosi yang berkaitan dengan dunia automotif disediakan. Menariknya, terdapat pameran kereta vintaj yang jarang-jarang dapat dilihat secara dekat seperti yang terdapat di booth Art Of Speed contohnya.

Terdapat juga pelbagai pameran kenderaan dan alat ganti dipamerkan sepanjang 10 hari berlangsungnya KLIMS 2018. Antara syarikat permotoran yang membuat pameran adalah Honda, Perodua, Proton, Toyota, Daihatsu, Ford, Hyundai, Isuzu, Kawasaki, Kia, Lexus, Mitsubishi, Nissan, Peugeot, UD, V-Kool, 3M dan banyak lagi.