PESERTA pertandingan Miss Tourism International (MTI) ke-21 berkunjung ke Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Subang Jaya, baru-baru ini untuk merasai sendiri pengalaman menaiki Proton X70, SUV pertama Proton di trek ujian Proton.

Selepas sesi tersebut, 45 peserta berkenaan bersama barisan pengurusan kanan Proton meraikan makan tengah hari dengan 25 kanak-kanak dari rumah penjagaan anak-anak yatim Sweet Care dan turut menyampaikan cenderamata kepada mereka.

Peserta MTI antara yang pertama merasai pengalaman menaiki Proton X70 baharu hanya selepas dua hari diperkenalkan secara rasmi.

Proton X70 sekali lagi menjadi tumpuan apabila SUV pertama Proton itu telah membawa seramai 45 peserta MTI ke trek ujian Proton sebelum mereka diberi peluang merasai pengalaman yang mendebarkan.

Para peserta dibawa untuk beberapa pusingan trek ujian tersebut serta demonstrasi tentang bagaimana Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) membantu meningkatkan tahap keselamatan bagi pemandu.

Selain dari keupayaan dinamiknya, fungsi sambungan Proton X70 juga ditunjukkan. Para peserta turut dipertontonkan bagaimana sistem arahan suara membolehkan pemandu mengakses pelbagai fungsi tanpa melepaskan tangan mereka dari stereng dan mengalihkan mata ketika memandu, yang menambahkan lagi tahap keselamatan dan kemudahan tambahan SUV tersebut.