PEUGEOT 3008 diangkat sebagai Kereta Terbaik 2018 pada majlis anugerah berprestij Malaysia Automotive Institute (MAI) yang berlangsung di Saujana Hotel Kuala Lumpur.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nasim Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George.

Samson Anand berkata, anugerah ini merupakan satu penghormatan besar untuk Peugeot Malaysia kerana telah diberi kepercayaan menerusi model Peugeot 3008.

“Peugeot 3008 SUV membuktikan keberaniannya di Malaysia sebagai model paling laris kami dalam negara, dan kami akan meneruskan tawar produk-produk kualiti terbaik kepada pasaran tempatan,” katanya.

Peugeot 3008 juga turut memenangi dua lagi kategori, iaitu Kereta Rekabentuk Terbaik dan Crossover Kompak Terbaik 2018.

Peugeot 3008 sebelum ini juga pernah meraih pengiktirafan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama dalam anugerah Car of the Year (COTY) tahun lalu di Pameran Motor Antarabangsa Geneva (GIMS) 2017, dan Kereta Terbaik Ireland (ICOTY) 2018 dan banyak lagi.