PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua yang paling lama berkhidmat, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh, bersara selepas sembilan tahun menerajui syarikat tersebut.

Di bawah kepimpinan Aminar, Perodua bukan sahaja dapat meningkatkan bahagian pasarannya dari 31.2% pada 2010 kepada lebih 37% setakat tahun ini, malah berjaya melaksanakan inisiatif transformasi dalam Kumpulan Perodua.

Prestasi lepas jualan menyaksikan peningkatan yang cukup ketara, begitu juga dengan kecekapan kos, kualiti dan penghantaran.

Perodua juga melaburkan RM1.3 bilion untuk membina Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, kilang Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) pertama di negara ini yang diperakui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, Ahli Lembaga Pengarah Perodua mengucapkan terima kasih kepada Aminar di atas sumbangan beliau khususnya kepada Perodua serta kepada industri automotif Malaysia secara keseluruhannya.

Aminar bakal digantikan dengan Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sebelum ini merupakan Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd. Beliau dijangka meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport Perodua.

“Ahli Lembaga Pengarah Perodua melihat Zainal adalah calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan Perodua dan para vendor, pembekal serta pengedarnya ke peringkat serantau.

“Membawa Perodua ke peringkat serantau memerlukan seseorang yang bukan sahaja boleh memimpin malah mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar,” katanya.