SEBAGAI sebahagian daripada komitmen tanggungjawab korporatnya selama tiga tahun kepada Rumah Kanak-Kanak Shan yang bermula Deepavali lepas, Perodua kembali ke rumah kebajikan itu pada Jumaat lalu untuk berkongsi kasih sayang, keceriaan dan harapan sempena Pesta Cahaya tahun ini.

Seramai 10 anggota sukarelawan Perodua bergotong-royong membersihkan dan menghiaskan kawasan rumah, di samping membuat kolam (seni serbuk berwarna) di hadapan pintu utama.

Ditambah dengan kehadiran maskot Perodua UFirst Ken, anak-anak semua cukup teruja dan gembira apabila mereka pulang ke rumah.

Perodua turut menyumbang sebuah ketuhar industri dan bahan serta peralatan lain bernilai lebih RM5,000, sebagai kesinambungan kepada kelas membuat roti yang telah diaturkan oleh Perodua untuk Rumah Kanak-Kanak Shan awal tahun ini. Ini membuka peluang kepada mereka untuk mengkomersilkan bahan buatan sendiri.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, sebagai syarikat yang memegang cogan kata ‘People First’, Perodua memberi perhatian kepada ikhtiar kebajikan yang mampan, seperti projek jangka panjang dengan Rumah Kanak-Kanak Shan ini.

“Anak-anak sudahpun diajar membuat roti dan kek. Kini, Perodua membekalkan mereka dengan peralatan lengkap supaya mereka boleh melakukan pembuatan berskala sederhana.

“Kami akan membimbing mereka ke arah memasarkan produk mereka, dengan harapan hasil pendapatan mampu membantu mereka menampung kos perbelanjaan mereka sedikit sebanyak. Dengan ini kami juga berharap dapat memupuk semangat dan sifat keusahawanan dalam kalangan anak-anak semua,” ujarnya.