PERODUA memberi peluang kepada para pengunjung Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18) untuk melihat keupayaan masa hadapannya, terutama sekali dari segi konsep reka bentuk.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, bertemakan Illumination (pencahayaan), sudut pameran Perodua menggambarkan visi dan cita-cita syarikat untuk terus mencetuskan idea-idea yang sejajar dengan keperluan dan kehendak pelanggan masa hadapan.

Turut diperkenalkan di Perodua Illumination adalah X-Concept, sebuah kenderaan konsep berteknologi tinggi yang menuju ke arah aspirasi dan gaya hidup masa hadapan.

Pengunjung dialu-alukan untuk berhubung dengan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Perodua dengan memberi maklum balas dan pandangan mereka terhadap X-Concept.

“Seiring dengan tema Beyond Mobility KLIMS18, Perodua X-Concept adalah lebih daripada sekadar kenderaan. Ia merupakan manifestasi visi Perodua masa hadapan di mana kenderaan menjadi kenyataan gaya hidup dan dipenuhi dengan teknologi tersambung (connected technology).

“Kami juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk memandu dan mengalami sendiri X-Concept, melalui dunia realiti maya (VR),” katanya.