PAMERAN Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS’18) yang mula dibuka tirai Khamis lalu sehingga 2 Disember ini menyasarkan kehadiran lebih 350,000 pengunjung sepanjang tempoh 10 hari acara berlangsung.

Pameran anjuran Persatuan Automatif Malaysia (MAA) itu dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), di Kuala Lumpur.

Bertemakan ‘Beyond Mobility’, MAA membawakan kemajuan teknologi permotoran, kepintaran buatan, rangkaian dan tenaga boleh diperbaharui.

Anthony (kanan) merasmikan pelancaran Proton X70.

KLIMS’18 memberi peluang kepada pengunjung melihat koleksi terbesar kereta, motosikal dan kenderaan komersil edisi terhad dan vintaj serta pelancaran produk automotif.

Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, KLIMS’18 adalah langkah agresif untuk pengguna melihat lebih dekat kemajuan kenderaan dan inspirasi kepada pelajar kejuruteraan automotif dalam penyelidikan.“Sebanyak enam dewan pameran dua tingkat melibatkan penyertaan 74 syarikat seperti Benelli, Daihatsu, UD Trucks, CAM, Petronas Motorsports Isuzu dan banyak lagi.

“Di zon Pusat Inovasi mempamerkan prototaip kenderaan dari enam universiti tempatan termasuk Kenderaan Bergerak Autonomi (UiTMMAV2) dari UiTM hasil pembangunan pertama tempatan,” katanya.

Anthony (empat, kanan) bersama pegawai Perodua sewaktu meninjau ruang pameran syarikat automotif negara itu.

KLIMS’18 turut menawarkan tiga cabutan bertuah, pengunjung berpeluang menang Toyota C-HR, Honda City dan Perodua Myvi ditaja UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Honda Malaysia Sdn Bhd dan Perodua Sales Sdn Bhd.

Pembeli tiket KLIMS’18 dalam talian juga berpeluang menang cabutan bertuah tiket penerbangan ke Tokyo.

Bayaran masuk KLIMS’18 adalah RM20 bagi dewasa (hari bekerja) dan RM25 (hujung minggu), RM5 untuk pelajar, kanak-kanak 12 tahun ke bawah dan warga tua (hari bekerja).

Terdapat juga pakej keluarga sebanyak RM40 (hari bekerja) dan RM50 (hujung minggu). Maklumat lanjut layari www.klims.com.my.