MESKIPUN pegangan pasaran keseluruhan Proton menurun pada Oktober, jumlah jualan dicapai adalah yang tertinggi sepanjang 2018, selain tempoh jualan luar biasa dari Jun hingga September yang didorong dengan GST berkadar sifar.

Dengan pelancaran Proton X70 pada akhir tahun ini, titik pertumbuhan menunjukkan minat pelanggan semakin meningkat pada rangkaian kereta sedia ada Proton. Penerimaan pelanggan telah ditingkatkan oleh polisi harga menarik yang ditawarkan.

Pembeli dapat menikmati harga tanpa SST di mana syarikat telah menyerap cukai tersebut untuk semua model miliknya. Ini bermakna tiada perubahan harga walaupun tempoh GST berkadar sifar telah berakhir dan penguatkuasaan SST pada September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, Proton adalah satu-satunya pengeluar kereta di Malaysia yang melaksanakan polisi harga tanpa SST untuk semua model sedia ada.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan nilai yang lebih baik kepada pelanggan dengan menjadikannya lebih mudah untuk memiliki sebuah kereta Proton.

“Bagi dua bulan terakhir 2018, kami menawarkan rebat sebanyak RM3,000 dan akan merancakkan lagi aktiviti jelajah serta karnival-karnival untuk memastikan kami dapat mendekati lebih ramai pembeli di Malaysia,” kata Rashid.