BERITA baik bagi peminat motosikal segmen cub kelas atasan, Boon Siew Honda mengumumkan pengeluaran baharu untuk model perdananya bagi segmen cub iaitu Honda Wave 125i.

Nama Honda Wave sudah tidak asing lagi untuk penggemar motosikal kegunaan harian yang terkenal dengan ciri-ciri motosikal berkapasiti enjin sederhana untuk jarak jauh.

Sepanjang pengenalannya di pasaran Malaysia, model ini telah ditambahbaik untuk memenuhi cita rasa dan kehendak pelanggan.

Model Honda Wave 125i baharu direka bentuk tampak bergaya dan elegan. Kemasan stripe pada body menjanjikan kelainan bagi siri ini.

Lampu hadapannya kini dilengkapi LED yang bukan sahaja meningkatkan daya visual yang tinggi malah memberi keyakinan kepada penunggang dalam kondisi jalan dan cuaca buruk selain mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding sistem lampu konvensional.

Bercakap dalam satu wawancara baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Pengarah Urusan Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, Siri Honda Wave dari Boon Siew Honda telah lama menjadi kegemaran individu yang mengidamkan sebuah motosikal yang bukan sahaja mempunyai daya tahan tinggi, malah mampu ditunggang dengan selesa untuk jarak jauh.

“Permintaan untuk motosikal segmen cub ini juga semakin bertambah dari sehari ke sehari.

“Pasaran untuk segmen cub juga berkebolehan tinggi dan semakin meningkat, ini kerana semakin ramai pengguna menginginkan sebuah motosikal berkapasiti sederhana yang mampu melakukan perjalanan jarak jauh dengan selesa,” katanya.