HANYA 50 individu pemilik lesen terbang di seluruh negara yang tampil dan menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 13 September hingga 8 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata mereka ini terdiri daripada 25 individu warganegara manakala selebihnya bukan warganegara Malaysia.

Kamarudin berkata selain kementeriannya dan JPJ, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menjalankan siasatan kes itu.

“Siasatan SPRM memberi fokus kepada prosedur yang terlibat dalam permohonan pertukaran memandu iaitu ‘convert license’ pemandu negara asing kepada pemandu Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mengesyaki kira-kira 14,000 lesen terbang dikeluarkan sejak dua tahun lepas susulan pembongkaran sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur yang sah.

 

-Bernama-