KEMENTERIAN Pengangkutan menetapkan dasar tidak menghapuskan perkhidmatan e-hailing seperti Grab, namun tidak akan mengabaikan pemandu teksi.

Grab akan dikehendaki menggunakan kenderaan yang mendapat kelulusan kerajaan Malaysia, membayar insurans dan cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan yang adil di antara kedua pihak.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, pendekatan kerajaan ialah untuk menyamaratakan peluang antara pengusaha teksi dan syarikat e-hailing supaya kedua-duanya dapat bersaing dengan adil.

“Pada dasarnya, kita tidak boleh menghapuskan Grab dan perkhidmatan e-hailing lain, namun kita akan menyamaratakan peluang perniagaan antara mereka dan pengusaha teksi.

“Grab bukan di Malaysia sahaja, tapi sudah menjadi kaedah pengangkutan yang digunakan hampir di seluruh dunia, selain peranannya melengkapi kekurangan pengangkutan awam lain yang sedia ada kini,” katanya.