MENDAPAT gelaran Pikap Truck of The Year dalam anugerah sulung Kereta Asean Terbaik (ACOTY) 2015 yang berlangsung dua tahun lalu, membuktikan nama Ford Ranger cukup kuat dan tidak asing lagi dalam segmen pasaran pacuan empat roda tempatan. Faktor ketahanan dan kemampuan jentera itu menjadi tarikan kepada produk jenama dari Amerika itu.

Minggu lalu, Ford telah memperkenalkan rangkaian model Ford Ranger Baharu untuk pasaran tempatan. Penulis dimaklumkan rangkaian itu membabitkan sembilan varian terdiri daripada varian XL, XLT, XLT+, Wildtrak dan Raptor. Dengan penampilan fizikal yang lebih tegap dan moden, penawaran teknologi terkini dan pakej keselamatan lengkap, mampu meletakkan Ford Ranger Baharu sebagai antara pilihan utama.

Baru-baru ini, pihak media telah dijemput untuk sesi pandu uji jentera ini. Hasil daripada cabutan undian, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan penulis dengan tiga rakan media yang lain telah dipilih untuk mencabar diri di laluan Setia City Convention Center menuju ke Rosa Hotel, Melaka.

Sememangnya jika ditanya pengalaman memandu uji Ford Ranger Baharu ini, ia masih segar dalam ingatan penulis dan sedikit teruja kerana diberikan peluang ini.

KONVOI BERMULA

Selepas tamat majlis pelancaran Ford Ranger Baharu yang berlangsung di Setia City Convention Center, penulis mengisi nama dan mendengar taklimat penting daripada pihak penganjur bersama rakan media yang lain sebelum memulakan konvoi.

Kali ini penulis berpeluang memandu uji Ford Ranger varian XLT+. Konvoi kami dilepaskan sekitar jam 3.30 petang dan untuk permulaan perjalanan konvoi, penulis hanya duduk di bahagian penumpang dan kami bersetuju bergilir memandu untuk sampai ke destinasi bagi memberi peluang semua merasai pengalaman memandu dan menjadi penumpang.

Sistem kemasukan tanpa kunci.

Penulis yang duduk sebagai penumpang hadapan mengambil kesempatan 'menyelongkar' bahagian dalam Ford Ranger yang begitu sempurna apabila dilengkapi SYNC 3 yang hadir bersama ciri Apple CarPlay dan Android Auto serta ciri Bluetooth dan skrin sentuh warna sepenuhnya bersaiz 8-inci.

Kualiti kedapan kabin dapat dirasai saat enjin dihidupkan. Malah, ketika jentera dipecut 140-160 kilometer sejam (km/j), ngaumannya tidak kedengaran bising kerana dikedap dengan baik. Namun, berada pada kelajuan berkenaan, tentunya anda dapat mendengar bunyi angin dengan jelas, ini memang tidak dapat dielakkan.

STABIL, MUDAH DIKENDALIKAN

Konvoi sepatutnya melalui Lebuh Raya Plus menuju ke Melaka, tetapi kami membuat keputusan untuk menuju ke Bangsar dahulu sebelum menggunakan lebuh raya bagi merasai pengalaman memandu di dalam bandar dan ternyata memandu jentera XLT+ 2.0 L dengan transmisi automatik dan manual 10 kelajuan ini, cukup selesa di kawasan bandar kerana ia stabil dan mudah dikendalikan,khususnya apabila mengambil selekoh atau memasuki laluan lain.

Ruangan enjin.

Stereng bertukar tangan apabila memasuki lebuh raya dan kali ini giliran penulis pula menguji diri. Gambaran pertama penulis dan sedikit teruja dengan Ford Ranger Baharu ini adalah bila hanya dengan pijakan lembut, Enjin 2.0L Diesel (14) dengan Variable Geometry Turbo (VGT) dan gabungan kotak gear dan transmisi automatik 10 kelajuan memberi pecutan yang cukup ‘galak’ dan lembut. Penulis difahamkan enjin ini mampu menjana kuasa maksimum 180PS / 3500rpm dan tork 420Nm/2500rpm.

Menyentuh aspek kestabilan, penulis dapat merasakan suspensi Ranger Baharu yang telah dinaik taraf ini mampu untuk meningkatkan aspek kawalan olengan, seterusnya menambah baik pengalaman memandu apabila membawa beban yang penuh atau menunda. Penulis difahamkan pakej baharu ini juga membolehkan aspek geometri diubah untuk memperbaiki pemanduan, mengurangkan olengan badan dan menambah baik ketepatan stereng.

Ruang simpan tayar simpanan.

Dari segi kestabilan ketika memandu di lebuh raya, penulis memuji ‘handling’ Ford Ranger Baharu ini sebab mengikut kehendak dan kemahuan penulis. Ketika memecut dan melalui lebuh raya Plus menghala ke Melaka, perjalanan boleh dikatakan santai dan penulis dapat merasakan ketika memandu seolah-olah sedang memandu kenderaan sedan biasa, bukan seperti berada di dalam trak pikap. Memandu Ford Ranger Baharu dengan tampilan teknologi terkini ini, memberi cukup keselesaan di dalam kelasnya.

LEBIH LASAK DAN PINTAR

Ciri bantuan pra pelanggan Ford yang menggunakan sistem brek kecemasan Autonomi Inter Urban (Autonomous Emergency Braking) dengan pengesan kenderaan dan pejalan kaki ada dipasang pada Rabger Baharu ini. Sistem ini direka untuk mengesan pejalan kaki dan kenderaan serta memastikan Ranger berhenti sepenuhnya demi membantu mengelak pelanggaran dari arah belakang dan pejalan kaki. Sistem ini berfungsi ada kelajuan 3.6km/j ke atas

Ciri pertama dan satu-satunya dalam kelas trak pikap, Amaran dan Bantuan Keluar Laluan (Lane Departure Warning & Assist), Kawalan Meluncur Boleh Suai (Adaptive Cruise Control) dan Amaran Pelanggaran Depan (Forward Collision Warning) turut ditawarkan pada Ranger Baharu ini.

Ciri Parking Selari Separa Automatik (Semi-Automatic Parrallel Parking) Ford yang pertama dalam segmennya turut dipasang pada varian Wildtrak 4x4. Pemandu hanya perlu menukar gear dan menekan brek, sistem kemudian akan membawa Ranger masuk ke dalam ruang parkir secara automatiki. Canggih bukan?

Secara keseluruhannya, bila memandu Ford Ranger Baharu (varian XLT+) ini melalui pengalaman penulis sendiri, ia cukup selesa dan menarik dengan bantuan teknologi terkini yang sempurna dalam kelasnya. Kesimpulannya penulis berpuas hati dengan jentera ini.

Penulis (kiri) bersama rakan media selepas sesi perkongsian kelas GoPro daripada Sifu Botak (tengah) yang diatur pihak Ford di Rosa Hotel Melaka.