KONSORTIUM E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) meraih pencapaian menakjubkan pada majlis SME 100 Fast Moving Companies Awards 2018 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.

E-Mutiara yang merupakan pengendali perkhidmatan bas ekspres terkenal di Kelantan berjaya menduduki tangga kelima dalam kelompok 10 syarikat terbaik, pada majlis tersebut.

Daripada 700 syarikat yang dinilai, sebanyak 100 buah menerima anugerah pada majlis yang mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari seluruh negara dengan tumpuan kepada pertumbuhan perolehan dan daya tahan amalan terbaik.

Pengerusi Eksekutif syarikat berkenaan, Che Ibrahim Che Ismail menerima trofi dan sijil kecemerlangan yang disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Kejayaan tersebut memberikan signifikan tersendiri buat E-Mutiara yang turut meraikan sambutan ulang tahun ke-25 mereka, pada tahun ini.

Syarikat milik penuh Bumiputera itu mempunyai lebih 70 bas yang menerokai ke semua destinasi utama di seluruh negara ini.