REPSOL bersama Pasukan Repsol Honda yang menampilkan duta global mereka, pelumba kelas dunia MotoGP, Marc Marquez dan Dani Petrosa tampil mempromosikan dan memberi penerangan berkenaan kesedaran dan langkah keselamatan ketika menunggang di jalan raya kepada pelajar sekolah yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, kelmarin.

Acara disertai 30 pelajar dari sekolah di daerah Sepang. Mereka diberi pengetahuan dan penekanan berkenaan pentingnya ada peralatan keselamatan, pelesenan, latihan dan kelajuan yang tepat daripada pelumba kelas dunia Repsol itu.

Sekolah yang terlibat terdiri daripada SMK Sg Rawang, SMK Seri Sepang, SMK Bandar Baru Salak Tinggi, SMK Pantai Sepang Putra, SMK Sg Pelek dan SMK Dengkil.

Inisiatif oleh Repsol Malaysia adalah sebahagian daripada komitmen jangkauan komuniti mereka untuk menangani isu kritikal kemalangan jalan raya di Malaysia.

Mengikut laporan Jun 2017 oleh Bloomberg, kadar kemalangan di jalan raya Malaysia adalah tertinggi di dunia, mencerminkan keperluan segera untuk kesedaran keselamatan di jalan raya.

Keselamatan adalah antara tonggak utama CSR untuk Repsol dan mereka berusaha untuk mencapainya dengan memberi kesan positif terhadap komuniti yang dikendalikannya.

Menurut Marquez, sebagai seorang pelumba profesional, aspek keselamatan menjadi keutamaannya, tidak kira ketika berada di jalan raya mahupun di litar lumba.

“Pasukan Repsol Honda dan saya sendiri sangat mementingkan dan mengutamakan keselamatan jalan raya serta keselamatan diri. Ia merupakan inisiatif yang hebat daripada Repsol untuk meningkatkan kesedaran kepada semua pengguna motosikal, terutama generasi muda,” katanya.