NAZA Euro Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Citroen di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan MPV tujuh tempat duduk terbaharunya yang direka sebagai MPV keluarga yang sempurna, dikenali sebagai Citroen Grand C4 SpaceTourer.

Reka bentuk MPV premium yang dipertingkatkan dan berteknologi tinggi beri pengalaman unik serta selesa pada pemanduan. Mesra pengguna dan mesra keluarga membolehkan pemandu dan penumpang bergerak dengan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George berkata, MPV premium ini merupakan model gantian kepada Grand C4 Picasso. Ia kini tampil dengan reka bentuk fleksibel dan inovasi.

Tujuh tempat duduk terbaharu yang direka sebagai MPV keluarga yang sempurna

“SpaceTourer Grand C4 baharu ini menawarkan banyak ciri praktikal, bersama-sama dengan teknologi keselamatan dan prestasi intuitif yang akan diterima baik oleh rakyat Malaysia,” katanya.

Bahagian luar Citroen Grand C4 SpaceTourer menarik perhatian dengan kehadiran cermin depan dan hud rendah bersama lambang Chevron. Diserlahkan lagi dengan sepasang lampu nyalaan siang (DRL) dan utama jenis bi-xenon nipis yang dipadankan bersama gril serta emblem Citroen.

Manakala bahagian belakang pula dilengkapi sepasang lampu yang diletakkan di dalam empat perumah berasingan dan disempurnakan dengan kehadiran rim aloi Boa bersaiz 17 inci.

KEMASAN PREMIUM

Melihat ke dalam ruang kabin, Grand C4 SpaceTourer hadir dengan kombinasi kemasan premium yang dikenali sebagai ambien Hype Grey. Papan pemuka dilengkapkan oleh skrin HD bersaiz 12 inci, bersama skin sentuh tujuh inci di bawahnya serta ciri ketersambungan standard termasuklah Android Auto, Apple Carplay, Mirrorlink dan USB.

Paparan skrin HD bersaiz 12 inci dan ciri sambungan standard termasuklah Android Auto, Apple Carplay, Mirrorlink dan USB.

Bukan itu sahaja, MPV ini juga dilengkapi brek elektrik automatik, soket 12V dan meja kecil boleh lipat seperti gaya di dalam pesawat.

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, MPV ini menawarkan banyak kompartmen di bawah lantai, ruang penyimpanan barang boleh alih dan sebagainya. Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat untuk memberikan ruang kargo seluas 2,181 liter.

Satu lagi ciri baharu ialah pintu belakang bebas tangan yang boleh dioperasi dengan menggerakkan kaki di bawah bamparnya.

TAWARAN PENJIMATAN

Citroen Grand C4 SpaceTourer digerakkan oleh enjin 1.6 Turbo High Pressure yang mampu menjana kuasa mencecah 167PS dan tork puncak sehingga 240Nm pada 1,400rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Rangkaian kuasa tersebut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 5.8 liter/100km.

Dibina atas Efficient Modular Platform 2 (EMP2), Grand C4 SpaceTourer dipasang dengan pelbagai ciri keselamatan. Antaranya ialah Active Safety Brake, Driver Attention Alert, 6 beg udara, ABS dengan Electronic Brake Force Distribution, Emergency Braking Assistance, Electronic Stability Control, kawalan cengkaman, Hill Start Assist, Interior Child Monitoring Mirror, Driver Attention Alert dan tiga cagak ISOFIX.

EMPAT PILIHAN WARNA

Anda boleh memilih daripada empat pilihan warna iaitu merah, biru, hitam dan putih. Harganya sekitar RM149,888 seunit (tidak termasuk insurans). Untuk tempoh terhad, Grand C4 SpaceTourer hadir dengan tawaran servis percuma selama lima tahun. Selain jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 120,000km, bantuan tepi jalan 24 jam dan akses eksklusif ke Sky Lounge di Subang Skypark.