BMW Malaysia memperkenalkan dua Fasiliti Pengecasan BMW i yang terbaharu di Ramada Plaza by Wyndham Melaka.

Pengurus Besar Ramada Plaza by Wyndham Melaka, Klaus Sennik berkata, Fasiliti Pengecasan BMW i Baharu adalah inisiatif syarikat untuk memperkayakan penawaran hospitaliti kepada tetamu, sambil memperkasakan gaya hidup lestari.

“Menerusi usaha sama dengan BMW Malaysia dan Seong Hoe Premium Motors, kini kami boleh menunaikan keperluan e-mobiliti para tetamu dengan adanya fasiliti yang canggih.

“Pelanggan kami kini boleh meneroka sekitar bandar Melaka yang bersejarah ini dengan sebaiknya menggunakan kenderaan elektrik mereka,” katanya.

BMW Group Malaysia meneruskan inisiatif untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai jenama utama bagi mobiliti-elektro, dengan membekalkan kenderaan elektrik yang merangkumi lebih dari 57% unit kenderaan BMW dan MINI.

Penyerahan unit secara keseluruhan juga telah mencatat peningkatan lebih dari 34% dari jumlah keseluruhan 5,100 unit kenderaan kepada 6,900 unit dari Januari sehingga November tahun ini.

Portfolio Mobiliti Bervisi yang diperkenalkan oleh BMW Group Malaysia dengan kenderaan BMW iPerformance juga didukung oleh platform ChargEV menerusi usaha samanya dengan Malaysian Green Technology Corporation.

Perkhidmatan BMW ChargeNow yang ditawarkan menerusi program BMW 360° juga memberikan akses kepada fasiliti-fasiliti pengecasan oleh rakan kongsi yang lain seperti ChargEV, di mana para pengguna boleh menerima bantuan dan akses 24/7 bagi kesemua lokasi pengecasan dalam rangkaian ChargEV yang sedang giat berkembang di seluruh negara.