BARU saja melancarkan model C-Class terbaharu dua minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kini semakin ghairah memperkenalkan pula barisan SUV prestasi tinggi siri AMG 63 untuk pasaran tempatan.

MBM memperkenalkan Mercedes-AMG GLC 63 dan GLC 63 Coupe serta model Mercedes-AMG G 63 2019 menjadi antara yang paling menarik untuk diberi perhatian.

GELARAN ‘GOD FATHER’

Dilengkapi dengan enjin 4.0L V8 Biturbo petrol dengan janaan sebanyak 585 hp dan 850 Nm tork pada 2,000 rpm hingga 3,000 rpm, SUV ikonik yang mendapat gelaran ‘God Father of Mercedes SUV’ ini dilengkapkan dengan sistem transmisi AMG Speedshift TCT 9G. Ini membolehkan jentera memecut 0-100 km/j dicapai dalam masa 4.5 saat, manakala kelajuan maksimumnya dihadkan kepada 220 km/j atau 240 km/j dengan pakej Pemandu AMG.

Enjin 4.0L V8 Biturbo petrol.

Model ini tampil menarik dengan dua pengecas turbo yang diletakkan sekali dalam silinder ‘V’. Kelebihan utama untuk reka bentuk ini adalah penghasilan enjin kompak, maklum balas lebih optimum serta pelepasan gas ekzos rendah.

Ruang simpan yang cukup luas.

REKAAN DALAMAN

Melihat pada rekaan dalaman melalui ruangan kabin, AMG G 63 menerima lebih banyak perincian serta kemasan khusus AMG seperti kemasan gentian karbon warna merah serta stereng AMG balutan kulit Nappa.

Material kulit itu juga digunakan untuk membaluti tempat duduk, dengan benang merah (dengan tali keledar merah) menyerlahkan lagi sisi agresif dan kelainan yang ditawarkan.

Kemasan khusus AMG dengan gentian karbon.

Dari aspek luaran, SUV ini menggunakan lampu utama dengan teknologi Multibeam LED serta tingkat kemasan AMG Night Package Edition 1. Ia hadir bersama rim 22-inci AMG, grafik badan khusus serta brek kaliper AMG merah. Sunroof boleh buka yang ada turut menyuntik unsur mewah untuk SUV ini.

Bahagian hadapan G 63 ini dicirikan oleh gril radiator khusus AMG dan bumper AMG dilengkapi mod pemanduan off-road iaitu Sand, Trail dan Rock yang membolehkan sistem suspensi bertindak balas terhadap permukaan jalan berbeza bagi menawarkan pemanduan lebih mantap.

CIRI KESELAMATAN

Antara ciri-ciri keselamatan utama yang hadir bersama ialah pakej Driving Assistance serta sistem Pre-Safe. Ini termasuk ciri seperti kamera 360-darjah, bantuan titik buta, bantuan jarak distronic aktif, bantuan pengekalan lorong aktif, bantuan brek aktif, bantuan parkir parktronic, beg udara sisi penumpang belakang serta lampu brek adaptif. Sistem masukan tanpa kunci adalah standard.

Mercedes-AMG G 63 itu juga dilengkapi teknologi terkini termasuk Pemanduan Pintar dengan Pakej Bantuan Pemanduan, arahan suara, sistem audio Burmester, pakej parkir dan Kemasukan Tanpa Kunci.

Menggunakan lampu utama dengan teknologi Multibeam LED.