Civic Meetday kumpul 35 kelab kereta serentak

PENGANJURAN Civic Meetday yang memasuki siri ke-5 tahun ini berlangsung meriah apabila menghimpunkan 35 kelab kereta di Malaysia khususnya untuk model Honda Civic.

Ini jelas membuktikan hubungan akrab dan semangat setia kawan berjaya dipamerkan walaupun daripada rumpun yang berbeza apabila dapat sama-sama berhimpun serta melakukan aktiviti bersama.

Acara yang berlangsung hujung November lalu telah diadakan di ruangan parkir Takbai, Tanjong Malim, Perak. Difahamkan lokasi dipilih berdasarkan kedudukan yang strategik kerana berada di tengah-tengah antara daerah utara dan selatan serta memudahkan peserta dari jauh seperti Johor dan Perlis turut sama berpeluang hadirkan diri.

LEBIH 1,000 PENYERTAAN

Penganjur Program, Amirul Fadzlishah Mat Bas merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pemilik Civic Malaysia yang hadir memeriahkan acara sepanjang berlangsung.

“Di luar jangkauan saya apabila matlamat utama untuk menghimpunkan semula pemilik Honda Civic pelbagai generasi bermula tahun keluaran 1990 hingga 2018 mencapai lebih 1,000 penyertaan berdasarkan bilangan sijil penyertaan yang kami keluarkan.

“Tanpa kerjasama semua pihak dan kru yang terlibat, sudah pasti program sebesar itu sukar untuk direalisasikan dengan sempurna seperti yang telah dirancang,” katanya.

Menurut Amirul lagi atau lebih dikenali dengan panggilan Ah Yoi, pelbagai aktiviti dijalankan pada hari tersebut seperti pertandingan autoshow, pameran dan jualan, fotobooth dan yang lebih menarik kedatangan anak-anak tahfiz dari Sekolah Al Ramadhan.

“Berkonsepkan ‘Extreme Hardcore’ sebagai tema, sebanyak empat kategori telah dipertandingkan sepanjang acara berlangsung iaitu kategori JDM, USDM, Engine Bay dan Tactical Art.

SOKONGAN PENAJA

“Sekalung penghargaan juga buat semua penaja seperti Jebon Autopart, Sudu Kuning, Ray Lelumba Garaj, Roslie Water Tranwater, Wandy Exzaust, Minyak Polmo dan banyak lagi penaja yang turut sama menaja hadiah dan hamper untuk pemenang cabutan bertuah dan autoshow,” ujarnya.

Tambahnya pertemuan itu menjadi kesempatan terbaik dalam kalangan peserta untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan teknikal serta alat ganti termasuk aksesori kenderaan antara satu sama lain.

“Harapan saya dengan adanya perjumpaan mega seperti ini pemilik-pemilik Honda Civic di Malaysia dapat bersatu hati dan tidak berpecah belah tambahan pula dengan kewujudan kelab serta komuniti yang terlalu banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Saya juga harap acara ini dapat dijadikan acara tahunan setiap tahun dan meningkatkan lagi jumlah penyertaan serta pengunjung pada masa akan datang,” katanya.