EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan Nissan Almera Siri Hitam baharu, model Nissan kedua yang diperkenalkan dengan edisi Siri Hitam.

Perubahan pada Nissan Almera Siri Hitam baharu ini adalah ia dilengkapi dengan gril depan hitam, penutup cermin tepi hitam, spoiler trunk lid hitam dan rim aloi hitam berjejari-Y bersaiz 15 inci, bersama dengan aerokit serba baharu titanum gelap yang direka khas oleh TOMEI Powered Inc. Co. Ltd, satu jenama Jepun yang memang terkenal dengan teknologi dan prestasinya dalam sukan permotoran.

CIRI REKAAN TERBAHARU

Penambahan yang dibuat Nissan adalah ruang dalaman dipertingkatkan lagi menerusi tempat duduk kulit dengan kemasan titanum gelap rekaan terbaharu, serta paparan skrin Audio Clarion 6.75 inci dengan kamera pandangan belakang, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto memastikan sentiasa terhubung sepanjang jalan.

Turut dilengkapi dengan filem penghalang haba solar gard dan Perakam Video Pemanduan (DVR) dengan sudut luas 150 darjah yang memberi ketenangan minda dan rasa selamat.

MODEL TERLARIS

Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan, Nissan Almera adalah salah satu model terlaris Nissan di Malaysia.

“Dengan memperkenalkan Nissan Almera Siri Hitam baharu, ia menambah gaya, penampilan dan keperibadian yang tersendiri, menjadi lebih menyerlah dan mengancam dari siri model terdahulu.” katanya.

Nissan Almera Siri Hitam baharu mengekalkan enjin 1.5 liter empat silinder HR15DE dengan Sistem Continuously Variable-valve Timing Control (CVTC) yang menawarkan pecutan serta penjimatan bahan api yang mengagumkan sebanyak 14.9km/L.

Almera juga dilengkapi dengan ciri Kekunci Pintar (i-Key) dengan Sistem Kemasukan Tanpa Kunci, Butang Penghidup Enjin dan Kawalan Suhu Automatik.

Sementara ruang kaki seluas 25 inci dan kargo seluas 490 liter menawarkan pemanduan yang selesa tanpa berkompromi dari segi ruang. (varian VL)

JAMINAN LIMA TAHUN

Hadir dalam lima warna iaitu hitam (Diamond Black), putih (Brilliant White), perak (Tungsten Silver), emas (Bronze Gold) dan hijau (Titanium Olive), yang eksklusif hanya untuk Almera Siri Hitam.

Dipasang di kilang dan boleh didapati dalam varian E dan VL, kereta ini hadir dengan jaminan lima tahun dan perbatuan tanpa had. Sementara jaminan aksesori pula adalah tiga tahun atau 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Pemilik Nissan Almera sedia ada yang berminat boleh menaik taraf kereta mereka dengan Aerokit TOMEI serba baharu dengan menghubungi talian 03-4047 8786 atau hantar emel ke tomei@tanchonggroup.com.

Nissan Almera Siri Hitam baharu akan membuat penampilan dalam acara Karnival Pandu Uji Nissan Seluruh Negara di bilik-bilik pameran terpilih pada dua hujung minggu. Telah selesai pada 9 hingga 11 November dan sedang bermula 17 dan 18 November, bermula jam 10 pagi hingga 8 malam. Orang ramai dijemput untuk mengunjungi karnival ini dan menjadi yang terawal menguji Nissan Almera Siri Hitam baharu.