MASIHKAH anda ingat kejadian sangat menyentuh emosi penonton di Grand Prix (GP) Argentina 2016 apabila seorang pelumba yang sedang mendahului perlumbaan terjatuh pada 20 meter terakhir perlumbaan, namun mengambil keputusan bangun dan menolak jenteranya?

Ya, dia ialah Adam Norrodin, anak muda yang bersemangat kental. Dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Termas De Rio Hondo, pelumba Moto3 negara itu terjatuh ketika mengambil selekoh terakhir sejurus berjaya memotong pelumba Sepanyol, Jorge Navarro dalam persaingan tempat kedua.

Bagaimanapun, Adam mengambil keputusan menolak motosikalnya sambil berlari terhincut-hincut akibat kesakitan hingga ke garisan penamat. Lariannya jelas semakin perlahan dan di penghujung garisan, Adam kelihatan tunduk ke bawah sambil terus menolak motosikal dan tiba di garisan penamat dengan kedudukan di tangga ke-11 serta mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dan juga petugas di pit lane.

Aksi Adam di litar lumba.

INGIN SAMBUNG LEGASI AYAH

Walaupun kini giat menjalani latihan di luar negara, Adam berkesempatan berkongsi permulaan kariernya sebagai seorang pelumba sehinggalah sekarang dengan peminat dan pembaca Sinar Harian.

Sejarah penglibatan Adam dalam dunia perlumbaan sukan permotoran bermula seawal usianya tujuh tahun. Ketika rakan sebaya sedang asyik bermain, Adam telah memulakan rentaknya dalam dunia perlumbaan dan serius mengejar cita-citanya yang ingin menjadi pelumba profesional pada ketika itu.

Menurut Adam, dia menjadikan ayahnya sebagai sumber inspirasi yang banyak memberi semangat dan doa dalam hidupnya.

“Ayah merupakan individu terpenting dalam perjalanan karier saya hingga ke saat ini, begitu juga ahli keluarga lain, rakan-rakan, dan rakan sepasukan.

“Ayah juga dulu seorang pelumba motosikal tetapi ayah cuma berlumba untuk suka-suka sahaja dan disebabkan banyak kekangan ayah tidak teruskan perjuangan ke peringkat lebih tinggi dan kini saya menanam hasrat untuk menyambung legasi dan cita-cita ayah,” katanya.

SEDIA BERAKSI DI SEPANG

Adam (kiri) bersama rakan sepasukan, Sasaki ketika di Moto3, Valencia test 2018.

Mengharungi kesan kesakitan lama, Adam mengakui kini lebih tenang dan sedia untuk beraksi bagi perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang yang bermula semalam.

Adam kini menduduki tempat ke-20 daripada 45 pelumba dengan mengumpul 46 mata setelah mengharungi 16 pusingan.

Sepanjang musim 2018, Pelumba Petronas Sprinta Racing ini mencipta rekod terbaik sewaktu di GP Argentina apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam saingan Moto3.

“Saya lebih tenang untuk menghadapi perlumbaan di tanah air sendiri pada hujung minggu ini dan telah bersedia sepenuhnya.

Niki juga sebahagian daripada pasukan Petronas di bawah kategori Moto2.

“Kini saya sangat lega dan sedia sepenuhnya untuk beraksi kerana sudah mengetahui nasib saya musim depan bila pihak pengurusan mengumumkan yang Niki juga sebahagian daripada pasukan Petronas di bawah kategori Moto2. saya tidak akan bersaing lagi dalam kelas Moto3, dan beralih kepada saingan CEV kelas Moto2 pada musim hadapan,” katanya.

 

MENGEJAR IMPIAN BERSAMA PETRONAS

Tim Petronas Sprinta Racing.

Menurut Adam lagi, Petronas Sprinta Racing adalah platform yang paling baik untuknya mengejar impian serta mencapai cita-citanya berada di kedudukan tertinggi dalam dunia perlumbaan sukan permotoran.

“Impian saya ingin menjadi pelumba kelas dunia MotoGP dan ingin sebaris dengan nama-nama besar pelumba profesional dunia yang lain.

“Saya percaya dengan pasukan Petronas Sprinta Racing, saya akan capai impian saya satu hari nanti. Kini saya akan cuba dapatkan tempat di podium seberapa banyak yang mungkin serta berusaha lebih gigih dari semasa ke semasa,” katanya.