KLANG – Seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer  6.2 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) menghala ke Klang, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Mohd Apandi Mahmood  berkata, kejadian jam 4.26 pagi itu menyebabkan lalu lintas terhalang.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.27 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebuah jentera bersama enam anggota diketuai Komander Operasi, Mohd Rezduan Mohd Abdullah dihantar ke lokasi kejadian.

“Tiba di lokasi, kita mendapati sebuah treler kontena melanggar sebuah treler membawa muatan besi paip hingga menghalang lalu lintas,” katanya.

Katanya, mangsa berusia 48 tahun sudah diselamatkan orang awam sebelum anggota tiba di lokasi.

“Anggota hanya membuat saiz up di lokasi kemalangan dan memastikan tiada lagi mangsa yang terlibat,” katanya.

Difahamkan, kemalangan berkenaan turut menyebabkan kesesakan sepanjang dua kilometer.