TAIPING - Tiga pekerja subkontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) parah akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja membaiki kabel bawah tanah berhampiran sebuah kilang di Kamunting, hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, Mohd Syawal Che Rose, 30, mengalami lecur hampir 50 peratus di beberapa anggota badan termasuk tangan, muka dan kaki.

Sementara dua lagi rakannya, G Muniandy, 39, dan Ahmad Nor Fitri Saidin, 21,  masing-masing melecur antara 10 hingga 20  peratus di badan.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas jentera digunakan untuk kerja mengorek tanah terkena kabel dan menyebabkannya meletup.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Muhamad Yassir Adnan berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Taiping menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, seramai enam anggota termasuk pegawai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi.

"Semua mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.