KOTA BHARU - Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas dalam kemalangan di Lebuhraya Kota Bharu- Kuala Krai, di Perol, petang semalam.

Dalam kemalangan jam 5 petang itu, mangsa, Amirul Hakimie Sabri, dari Kampung Serdang Surau, Mahligai, Bachok meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan awal mendapai kejadian berlaku apabila motosikal Honda EX5 yang ditunggang mangsa dari arah Perol menghala ke Pasir Hor hilang kawalan ketika melalui kawasan berselekoh lalu melanggar besi pembahagi jalan di kiri jalan.

“Mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga untuk disemadikan hari ini,” katanya.