PEKAN - Seorang penuntut Kolej Vokasional Shah Alam maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Jalan Taman Perdana, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, mangsa, Mohammad Mukhriz Haykel Mohammad Mahayaddin,16, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sementara Pengerusi Logistik Issagami Sdn Bhd, P Darshan Singh, 49, tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta jenis Proton Saga Flx dalam perjalanan ke Bandar Pekan menuju ke Taman Perindustrian Automotif Pekan.

"Setibanya di tempat kejadian, tiba-tiba penunggang motosikal telah keluar simpang secara mengejut menyebabkan pemandu membrek secara tiba-tiba.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat kereta tersebut telah melanggar sebelah kanan motosikal yang menyebabkan penunggang motosikal cedera di bahagian kepala.

"Namun pada jam enam petang tadi (hari ini) pihak kita mendapat maklumat daripada unit Forensik mengatakan penunggang motosikal telah meninggal dunia," katanya kepada Sinar Harian.

Amran berkata, kemalangan menyebabkan motosikal jenis SYM BX 110  remuk teruk dan pecah di bahagian kanan motosikal.

"Keadaan jalan ketika itu permukaannya kering kerana cuaca baik ketika itu dan merupakan jalan lurus satu lorong dua hala dan terdapat simpang di sebelah kiri

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan kes ini masih diteruskan,” katanya.