BENTONG - Selepas terjatuh ke dalam Empangan Perting petang semalam, seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli yang dikhuatiri lemas ditemui pada jam 2 petang tadi.

Mangsa, Usop Mat Arip, 8 ditemui oleh bapa saudaranya pada jarak 3.5 kilometer dari lokasi kejadian mangsa dipercayai terjatuh.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Sani Harul berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah disambung pagi tadi selepas ditangguhkan malam tadi.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum itu, mangsa dipercayai tergelincir ketika cubaan menyeberangi kawasan tohor lalu terjatuh ke dalam empangan tersebut, kira-kira jam 4 petang semalam.

Ketika kejadian, mangsa sedang memancing bersama keluarganya dan dipercayai bapanya gagal menyelamatkan anaknya.