PEKAN - Seorang wanita warga emas maut manakala suaminya cedera parah apabila kereta dinaiki mereka dilanggar dengan sebuah lori treler di Kilometer 17 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin berhampiran Kampung Cenderawasih di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, kemalangan pada jam 4 petang itu menyebabkan Saibi Salleh, 75, patah di kaki kanan manakala isterinya, Hasiah Yaakob, 61 meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika lori treler cuba memotong Perodua Kancil, namun pada masa sama, kereta itu membelok ke sebelah kanan.

“Lori treler cuba untuk membrek tetapi gagal. Disebabkan itu, kereta itu tersangkut dengan lori dan terseret hingga 60 meter ke sebelah kanan jalan," katanya kepada Sinar Harian.

Polis sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata,  pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 4.12 petang dan 18 anggota digerakkan bagi melancarkan operasi menyelamat.

"Setibanya di tempat kejadian, didapati ada dua mangsa di dalam Perodua Kancil tersepit.

"Pasukan bomba menggunakan ‘rescue cutter’ dan bantuan kren serta Jcb buldozer untuk mengeluarkan mangsa tersepit," katanya.