SEREMBAN – Identiti mangsa yang rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Taman Jasper Jaya di sini malam tadi, telah pun dikenal pasti.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Superitendan, Mohd Rosli Ishak berkata, polis menerima maklumat kejadian, hasil laporan bedah siasat mengesahkan mangsa ialah lelaki berketurunan Cina berusia 34 tahun.

“Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan pasukan bomba yang memadam kebakaran sebuah kereta jenis Sedan di tepi jalan Taman Jasper Jaya hanya menyedari terdapat mayat di dalam kenderaan itu selepas api berjaya dipadamkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, bomba menerima laporan jam 9.49 malam dan bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan lapan anggota.

“Pasukan bomba hanya menyedari terdapat mangsa rentung di bahagian  tempat duduk pemandu sebaik selesai memadam kebakaran,” katanya.