DUNGUN - Seorang guru wanita menemui ajal dalam nahas jalan raya di kilometer 362.9 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, Noraini Mohd, 34 maut di tempat kejadian apabila kereta jenis Proton Persona yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan.

Mangsa yang bertugas di SMK Dato Sedia Raja, Rembau, Negeri Sembilan itu tercampak keluar dari kenderaan dipandu menyebabkan kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Rembau untuk bertugas.

"Mangsa yang berasal dari Manir, Kuala Terengganu dikatakan dalam perjalanan untuk ke Negeri Sembilan memandangkan musim cuti sekolah akan berakhir tidak lama lagi.

"Mangsa parah di bahagian kepala, kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.