SETIU - Guru Sekolah Kebangsaan (SK)  Tiara Permai, Sentul, Kuala Lumpur, Abd Rauf Mohd Zulkarnain, 27, yang hilang setelah dihanyutkan arus deras Sungai Setiu Khamis lepas, ditemui jam 10.15 pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba yang membuat pencarian di kawasan pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Setiu dengan menggunakan bot.

Menurutnya, lokasi mayat mangsa ditemui terletak kira-kira dua kilometer daripada lokasi terakhir lemas.

"Mayat mangsa ditemui lengkap berpakaian dalam keadaan terapung sebelum dibawa ke darat kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut," katanya.

Abdul Rauf sebelum ini dihanyutkan arus deras selepas mandi di sungai itu bersama adik lelaki dan dua rakan mereka yang masing-masing berusia 17 tahun pada jam 4.10 petang, Khamis lepas.

Bagaimanapun, tiga yang lain selamat dan berjaya naik ke tebing sebelum adik mangsa membuat laporan polis.

Mangsa yang masih bujang berasal dari Kampung Buluh, Bandar Permaisuri di sini, sampai di rumah keluarganya pada pagi hari kejadian untuk bercuti.