JOHOR BAHRU - Enam cedera apabila sebuah kapal tangki dan malim terlibat dalam letupan di kedudukan lima batu nautika barat daya Pulau Sialu, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman berkata,  seramai lima anggota ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan berhubung insiden berkenaan yang berlaku kira-kira jam 6 petang.

"Sebaik tiba, pihak kami mendapati terdapat kesan letupan pada kapal malim yang berada dalam keadaan bertambat pada sebelah kapal tangki gas infiniti yang bertujuan untuk  melakukan kerja-kerja pemindahan barang.

"Dalam insiden tersebut, empat kru kapal malim bersama dua kru kapal tangki berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun didapati melecur dipercayai akibat terkena letupan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke jeti zon Maritim Batu Pahat sebelum sebelum ke Hospital Sultanah Nora Ismail menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Punca kejadian masih di dalam siasatan oleh Zon Maritim Batu Pahat.

“Bagaimanapun, semua pengusaha perkapalan dan komuniti maritim diminta sentiasa patuh kepada undang-undang dan sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika melaksanakan sebarang aktiviti di laut,” katanya.

Mohamad berkata, orang ramai boleh menghubungi hotline 07-4344020 atau 999 yang beroperasi secara 24 jam untuk menyalurkan maklumat mengenai salah laku jenayah atau kecemasan.